Rabu, 21 Mei 2008

REFORMASI DI MALAYSIA: AGENDA YANG BELUM SELESAI


Pada bulan September 1998 ibu kota Kuala Lumpur digemparkan dengan jeritan reformasi oleh ribuan suara rakyat.

Berbagai pihak dan golongan bersatu untuk menuntut perubahan dan keadilan. Dalam banyak-banyak tuntutan itu satu darinya adalah dipersetujui hampir semua mereka iaitu menuntut Mahathir Mohamad turun dari jawatan Perdana Menteri.

Sepuluh tahun telah berlalu. Kini Mahathir bukan sahaja telah dijatuhkan oleh rakyat dari tampuk kuasanya tetapi pada hari rencana ini ditulis Mahathir telah keluar dari UMNO – jentera politik yang dikudanya lebih dua dekad untuk memusnahkan struktur-struktur penting sistem demokrasi di negara ini.

Banyak juga yang telah dicapai sepanjang 10 tahun ini. Namun begitu, walaupun Mahathir telah turun tetapi BN dan UMNO masih berkuasa di peringkat pusat dan di 8 buah kerajaan negeri.

Demokrasi mula berkembang apabila BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan ia tidak ada lagi kuasa hendak meminda perlembagaan sesuka hati. Tetapi dengan simple majority yang ada padanya BN masih berdegil tidak mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan lain-lain undang-undang yang menindas suara rakyat.

Satu perkara positif yang memberasangkan sekarang ialah dasar politik luas yang bersifat pelbagai kaum yang berteraskan kepada keadilan sosial mula mengambil tempat dalam pentas politik arus perdana. Tetapi politik sempit menggunakan kad perkauman masih cuba diapi-apikan oleh parti-parti komponen BN khusunya UMNO.

Kita perlu mengakui bahawa Agenda Reformasi yang lantang disuarakan 10 tahun lalu masih belum selesai. Ia telah mecapai beberapa kejayaan tetapi belum merubah sistem yang ada yang telah ditegakkan selama lebih 50 tahun.

Tiada pilihan lain bahawa Kerajaan BN perlu ditumbangkan jika reformasi hendak dilaksanakan. Abdullah Ahmad Badawi dan UMNO perlu mengambil laluan seperti Habibe dan Golkar di Indonesia selepas Suharto jatuh.

Dalam hal ini bagaimana BN, Abdullah Ahmad Badawi dan UMNO hendak ditumbangkan? Ini persoalan pertama perlu dijawab.

Kemudian siapa yang boleh menggantikan BN? Apakah Pakatan Rakyat (gabungan Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP) telah bersedia untuk mengambil peranan sejarah ini? Apakah Pakatan Rakyat sekarang bersifat kerajaan dalam eksperimen? Ini persoalan kedua.

Dan persoalan akhirnya ialah peranan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin gerakan reformasi di Malaysia. Persoalannya sampai bila Anwar Ibrahim perlu dikenali sebagai pemimpin de facto parti-parti pembangkang.

Walaupun diakui perubahan personaliti atau tokoh peribadi tidak mencukupi untuk membawa reformasi di Malaysia ini, tetapi tidak dinafikan setiap tahap perjuangan memerlukan seorang tokoh kepimpinan.

Pada ketika ini tiada tokoh yang lebih layak membawa obor reformasi ini kecuali Anwar Ibrahim. Banyak orang dapat memaafkan Anwar tentang segala kelemahannya dan kegagalannya selama 16 tahun dia di dalam Kerajaan BN kerana Anwar telah membayarnya dengan berani apabila beliau sanggup terpenjara selama 6 tahun di bawah diktator Mahathir.

Walaubagaimanapun laluan Anwar untuk menjadi seperti Nelson Mandela yang berjaya merobohkan dasar Apartheid tidak begitu mudah. Masih ada golongan yang kurang selesa dengan Anwar angkara isu-isu seperti yang dibangkitkan oleh anak Mahathir – Mukhriz di Parlimen baru-baru ini iaitu tentang hubungan rapat Anwar dengan tokoh-tokoh neo-konservatif Amerika seperti Paul Wolfowitz dan kisah sebuah yayasan yang dipimpin oleh Anwar yang dikatakan sebahagian dananya diterima dari Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Penulis bersifat positif dan tidak prasangka terhadap Anwar. Tuduhan hanyalah tuduhan selagi ia tidak dibuktikan. Bagaimanapun jika Anwar dapat membersihkan dirinya dari persepsi negatif tentang hubungan rapatnya dengan elemen-elemen reaksioner di Amerika Syarikat dan dunia Barat maka Anwar boleh menjadi pemimpin de facto dan de jure di Malaysia ini dan beliau boleh terus memimpin perjuangan reformasi yang belum selesai.

Bolehkah Anwar bangun dan menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang tuduhan Mukhriz Mahathir di Parlimen itu?

Artikel oleh - Hassan Karim

Tiada ulasan: