Jumaat, 25 April 2008

Ex-Gratia


Pak Adang mengalu-alukan pemberian ex-gratia kepada bekas hakim-hakim termasuk Tun Salleh Abas berhubung pemecatan beliau semasa era rejim Tun Det. Tapi bagaimana pulak kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terang-terang Tun Det ngaku yang DSAI tak dak salah apa-apa pun? Patut gak DSAI diberikan ex-gratia macam bekas hakim-hakim tu. Adakah nak tunggu sampai DSAI jadik PM atau tunggu Tun Det dah tak ada baru nak bagi?


Agen Seladang - Ex-gratia? Ape kebende nih? Macam tak ada perkataan melayu aje...

Al-Fatihah Untuk Allahyarham Rustam


Belum terlambat lagi buat Pak Adang dan teman teman Pak Adang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rustam A. Sani. Pada Pak Adang, walaupun dah tak bersama lagi ngan puak Pak Adang tapi pada Pak Adang, beliau tidak pernah mengkritik puak – puak Pak Adang. Pak Adang hormati pendirian dan buah fikiran beliau lebih-lebih lagi beliau anak kepada pengasas Parti Pak Adang. Al-Fatihah untuk beliau, semoga rohnya dicucuri rahmat.

Agen Seladang – Pak Adang penerus perjuangan Ahmad Boestaman.

Obor Olimpik


Itu hari Pak Adang dok tengok TV ada lak cerita pasal larian obor Sukan Olimpik. Rata-rata setiap negara yang dilaluinya ada lak tunjuk perasaan menyokong Tibet. Ramai aktivis dunia turut serta. Tapi yang harunya, bila tiba kat Malaysia, ada aktivis ditangkap dan mereka nie bukan orang Malaysia. Tak kelihatan lak aktivis NGO tempatan yang turut serta tunjuk perasaan menyokong Tibet. Agak-agaknya mungkin sebab ramai mereka-mereka nie dah jadi Exco dan ahli politik atau pun tengah tunggu dilantik jadi ahli majlis tempatan sampai terlepas pandang perkara nie.

Agen Seladang – Tak pilih bulu… opppsss isu….

Pelan Peralihan


Gelombang desakan supaya Pak Lah segera mengumumkan “pelan peralihan” kepada timbalannya semakin kuat kedengaran disana sini dikalangan orang UMNO. Nampak sangat orang UMNO ni amat “berbudi bahasa”. Kan lebih baik ditukar perkataan pelan peralihan tu kepada bahasa yang mudah difaham untuk orang-orang yang tak reti bahasa. Kadang-kadang bahasa yang terlalu lembut sangat tu memang ada orang buat-buat tak faham. Sebenarnya pelan peralihan yang sesuai untuk Pak Lah adalah pelan pintu keluar.

Agen Seladang – Pelan-pelan buat-buat faham udah ler…


Menang Pilihanraya


Tahniah buat teman-teman Pak Adang yang baru menang pilihanraya lepas. Terkejut gak bila dapat tau teman-teman Pak Adang dapat pukul abis 4 negeri selain dari Kelantan dan majoriti di Kuala Lumpur. Tentu teman-teman Pak Adang jugak terasa terkejut sakan sebab tak sangka jadi gitu gamaknye. Tapi ingatan pada teman-teman semua, bila dapat kuasa tu yang lak lupa tanggungjawab pada tangan yang memilih teman semua. Jangan gelap mata lak nak rebut jawatan macam yang selalu berlaku macam puak sebelah sana.


Agen Seladang – Tak kuasa you….

Perebutan Jawatan


La ni kecoh pasal pemilihan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO. Walhal pemilihannya bulan Disember nanti, tapi kecoh macam esok lusa ada pemilihan. Sorang sibuk nak pertahan jawatan ini, sorang lagi sibuk nak tawarkan diri untuk jawatan itu, ada gak yang sibuk tak nak jawatan macam kata omputih “low profile”. Teman-teman Pak Adang yang baru berkuasa pun jangan jadi puak yang tu. Takut nanti mabuk dengan kuasa lak.


Agen Seladang – Jangan salah guna kuasa sudah…


Harga Barang



Tahniah pada wakil Johor Bahru, pasal tetiba dilantik jadi Menteri KPDN&HEP. Tugas mula-mula, hang kena tengok harga barang sekarang. Pak Adang nak tegaskan kat sini, hang kena pikiq pendapatan orang Malaysia dibanding ngan puak hang kat Singapura sana. Baru boleh dok “compare” harga diorang. Tak kan lah dah ada kuasa, tetiba aje tak buleh jaga harga barang supaya tak naik. Nasib baik Pak Adang cuma makan rumput, kalau tak mahu ditanduk orang yang tak reti jaga harga barang. Molek sangat ler bahasa si Shahrir tu suruh rakyat makan roti kosong aje. Roti yang berisi, dia dan puak-puak dia aje yang bedal.



Agen Seladang – Tunggu apa nak dibueknya bila harga barang naik… pening oooiii!!!!



Rabu, 23 April 2008

Kenyataan Akhbar



Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru pihak-pihak tertentu di kalangan Parti Pembangkang, khasnya Pakatan Rakyat supaya menghormati keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12) yang diadakan pada 8hb Mac 2008 lalu. Dalam PRU12, rakyat telah membuat keputusan iaitu Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk membentuk Kerajaan Pusat Malaysia di peringkat Nasional dan di lapan buah negeri di peringkat Negeri.


Keputusan PRU12 juga menunjukkan BN telah kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen. Parti Rakyat mengalu-alukan keputusan itu kerana ia bermakna suara pembangkang kini lebih lantang dan berkesan di Parlimen bagi memainkan peranan memeriksa dan mengimbangi (check and balance).


Bagi PRM, keputusan Pilihanraya Umum yang baru berlalu itu telah menghasilkan kesan yang positif kepada amalan demokrasi di Malaysia. Ia adalah keputusan yang dibuat oleh Rakyat Malaysia sendiri dan perlu dihormati oleh semua pihak, sama ada dikalangan BN ataupun Pakatan Rakyat dan parti-parti pembangkang lain.


Kerana itu, Parti Rakyat membantah sebarang usaha yang ingin dilakukan oleh sesetengah pihak yang mahu menumbangkan Kerajaan BN yang memerintah diperingkat pusat sekarang dengan cara tidak sah dan tidak beretika iaitu dengan cara menggalakan ahli-ahli Parlimen BN sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak berpaling tadah dengan melompat dari BN ke Pakatan Rakyat.


Keputusan PRU12 menunjukkan rakyat memberi mandat kepada BN terus berkuasa untuk 5 tahun akan datang sehingga Pilihanraya Umum Ke-13. Jadi Parti Rakyat berpendapat Kerajaan BN perlu diberi peluang untuk mentadbir Kerajaan Pusat bagi 5 tahun lagi dengan aman dan tanpa diganggu-gugat secara yang tidak demokratis. Begitu juga Parti Rakyat menyeru BN tidak menganggu-gugat 5 buah Kerajaan diperingkat Negeri yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat.


Parti Rakyat percaya akan berlaku kacau bilau dan huru hara sekiranya Kerajaan BN yang sah sekarang yang dipilih rakyat melalui Pilihanraya ditumbangkan dengan cara yang tidak demokratik akibat amalan politik berpaling tadah dan lompat-melompat yang cuba diperkenalkan oleh sesetengah pihak dikalangan Pakatan Rakyat.


Rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah kerajaan yang ditadbir oleh Parti Politik yang berprinsip yang benar-benar mendapat mandat rakyat didalam Pilihanraya Umum yang dilakukan secara adil dan telus, bukannya sebuah kerajaan yang ditubuhkan secara pintas dan segera dengan melakukan tindakan seolah rampasan kuasa dari pintu belakang.


Parti Rakyat amat yakin amalan politik lompat-melompat untuk cepat berkuasa bukan sahaja bercanggah dengan amalan demokrasi tetapi ia juga menggalakan amalan korupsi dalam politik dan pada akhirnya ia akan membunuh amalan demokrasi yang baru hendak hidup dan berkembang di negara ini selepas PRU12 itu.


Tidak dinafikan Parti-parti Pembangkang di dalam Pakatan Rakyat, malah Parti Rakyat juga sebagai Parti Pembangkang berhak untuk menyimpan hasrat untuk berkuasa dan menumbangkan BN dalam Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang. Tetapi usaha ke arah itu mesti dibuat secara sah bersesuaian dengan amalan demokrasi melalui proses pilihanraya yang bersih, adil dan telus.


Langkah sesetengah pihak yang seperti tidak sabar-sabar untuk berkuasa hatta sanggup menggunakan sistem pancing memancing sehingga ada ahli-ahli Parlimen yang tergamak lompat-melompat dan berakhir sebuah kerajaan yang sah tumbang hanya akan menjemput malapetaka berlaku di Malaysia dan akhirnya boleh menjadikan negara kita yang aman dan damai sekarang berubah menjadi seperti apa yang berlaku di sesetengah negara seperti Haiti, Nigeria, Timor Leste, Somalia dan banyak lagi.



Hassan Bin Abdul Karim
Presiden Parti Rakyat


Bertarikh 23hb April 2008
Alamat Markas Pusat: No. 21B(F), Jalan SJ6, Taman Selayang Jaya, 68100 Batu Caves, Selangor.
Alamat Presiden: Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor
Blog: http://parti-rakyat.blogspot.com/
email: partirakyat@gmail.com

Khamis, 17 April 2008

Ringkasan Sejarah Parti Rakyat Malaysia

Awal Penubuhan

Parti Rakyat Malaysia adalah merupakan salah satu parti politik terawal di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr. Burhanuddin Al Helmy dan sebilangan pejuang kemerdekaan pada 11 November 1955. Tidak seperti semangat yang diperjuangkan oleh UMNO (seterusnya menjadi Parti Pemerintah sehingga ke hari ini), Parti Rakyat mahukan kemerdekaan secara total dari penjajahan kolonial British.
Pada tahun 50-an dan 60-an, Parti Rakyat telah bergabung bersama dengan Parti Buruh dan dikenali sebagai Barisan Sosialis (Socialis Front) yang mana menguasai kebanyakan Majlis Tempatan di Semenanjung Malaysia. Kekuatan dan perkembangan gerakan haluan kiri ini telah mendapat tentangan hebat dari pihak pemerintah khasnya UMNO yang masih dibayang oleh penjajah British. Pada tahun 1963, semasa peristiwa konfrontasi diantara Malaysia dan Indonesia, pihak pemerintah Malaysia telah memulakan penangkapan dan penahanan ahli dan aktivis politik dikalangan pembangkang. Diantara yang ditahan adalah Ahmad Boestaman (Presiden Parti Rakyat), Ishak Hj Muhammad (Presiden Parti Buruh), Abdul Aziz Ishak, Datuk Kampo Radjo (kemudiannya Presiden Parti Rakyat), Tan Kai Hee, Tan Hock Hin, Dr Rajakumar, Hasnul Hadi, Tajuddin Kahar dan beratus-ratus yang lainnya.

Tekanan

Barisan Sosialis kemudiannya dibubarkan kerana mendapat tekanan kuat dari pihak pemerintah. Semasa berlakunya tragedi rusuhan kaum pada 1969, pihak pemerintah semakin menguatkan pengaruhnya dengan memansuhkan sistem pilihanraya di Majlis Tempatan dan menggantikannya dengan secara lantikan. Oleh yang demikian, Parti Rakyat telah kehilangan sokongan dan suara didalam Parlimen dan juga Majlis Tempatan. Pada tahun 1970, kepimpinan Parti Rakyat telah diambil alih oleh Kassim Ahmad, seorang lepasan professional Universiti, Parti Rakyat telah diterapkan lagi dengan ideologi sosialis lebih radikal. Pindaan Perlembagaan telah dibuat dan Parti Rakyat dipinda kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Disebabkan perkembangan ini, pihak pemerintah mengambil kesempatan dan membuat momokan bahawa ianya mirip kepada komunis. Diatas tuduhan-tuduhan yang palsu, ramai pemimpin dan penyokong parti terus ditahan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah Presiden Parti Rakyat ketika itu, Kassim Ahmad juga telah ditahan. Sebahagian rakyat bertambah memandang serong dan takut akan PSRM yang begitu banyak dimomokan. Pada awal tahun 1980-an, Datuk Kampo Radjo, bekas Exco Selangor telah dipilih menjadi Presiden menggantikan Kassim Ahmad.

Kepimpinan Baru

Pada akhir tahun 1980-an, Parti Rakyat telah dipimpin kepimpinan baru di ketuai oleh Dr. Syed Husin Ali dan Dr. Sanusi Osman sebagai Setiausaha Agung. Pada sidang Kongres PSRM dalam tahun 1989 telah kembali kepada nama asal iaitu Parti Rakyat Malaysia (PRM). Semasa Pilihanraya Umum 1990, Parti Rakyat menjalinkan kerjasama dikalangan parti pembangkang Malaysia yang dinamakan Gagasan Rakyat. Gagasan ini telah berjaya mengurangkan dominan parti pemerintah dan bagi mendapatkan pertandingan satu lawan satu disetiap kawasan.
Semasa era reformasi berikutan penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat saranan yang berpendapat supaya Parti Rakyat bergabung bersama Parti Keadilan Nasional. Dalam siri perbincangan, beberapa keputusan telah dicapai bagi menjayakan penggabungan ini. Parti Keadilan Nasional akan dipinda kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), digubal teras pelembagaannya dan logo parti juga diubah. Manakala Parti Rakyat, seluruh ahlinya akan dipindahkan secara "en-bloc" kepada Parti Keadilan Rakyat dan Parti Rakyat akan dibubarkan apabila Parti Keadilan Rakyat telah berada dalam keadaan mantap. Kedua-dua Parti telah digabungkan secara rasmi pada 3 Ogos 2003.

Bagaimanapun, sebilangan pemimpin Parti Rakyat berpendapat beberapa keputusan tidak memenuhi syarat khususnya mengenai pembubaran Parti Rakyat. Lanjutan dari itu, satu Kongres Khas telah diadakan di Johor Bahru pada 17 April, 2005 dan kepimpinan baru telah dipilih bagi meneruskan perjuangan Parti Rakyat dan menegaskan bahawa perlunya Parti Rakyat terus wujud dan komited untuk bersaing di arena politik Malaysia.

Sabtu, 12 April 2008

Pengenalan Simbol Parti Rakyat

Simbol Parti Rakyat adalah seladang berlatar-belakangkan roda. Seladang melambangkan keberanian, kerjasama dan melindungi yang lemah. Manakala roda membawa makna kemajuan teknologi dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Warna putih, merah dan hitam melambangkan kesucian, keberanian dan keazaman.

Cita-Cita Perjuangan

Untuk memperjuangkan hak, kepentingan dan kedaulatan rakyat dari semua kaum dan berkhidmat terutama sekali kepada rakyat jelata lapisan bawahan demi mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur dan maju berasaskan demokrasi, keadilan sosial, cinta Negara dan nilai-nilai kerohanian dan kebudayaan yang luhur.