Rabu, 7 Mei 2008

PEMERGIAN RUSTAM: KITA KEHILANGAN SEORANG INTELEKTUAL DAN PEJUANG REFORMASI YANG GIGIH


Rustam A. Sani bagi saya bukan sekadar seorang penulis. Beliau adalah seorang intelektual, pejuang reformasi. Pemergiannya pada 23-4-2008 adalah satu kehilangan besar kepada Malaysia. Saudara Rustam penyokong kuat gagasan pembentukan satu bangsa Malaysia yang bersatu. Sebagai contohnya, beliau mempertahankan penggunaan istilah Bahasa Malaysia bukannya Bahasa Melayu.
Saya mengenali Rustam dari namanya sahaja bukan orangnya sejak awal tahun 70-an semasa saya mahasiswa di Universiti Malaya. Rustam ketika itu telah terkenal sebagai seorang penulis dan juga seorang penyair. Beliau menulis sajak. Sajak antaranya menyokong perjuangan petani miskin.
Pada pertengahan tahun 80-an, Rustam aktif di dalam Persatuan Sains Sosial. Ketika itu beliau menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada masa yang sama waktu itu saya memegang jawatan Setiausaha Agung Partai Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Kami sering bertemu dalam majlis-majlis perbincangan, khususnya siri Dialog Keperihatinan anjuran ALIRAN yang ketika itu dipimpin oleh Dr. Chandra Muzaffar.
Rustam dan saya sering saling lengkap melengkapi memberi perspektif progresif dan kiri dalam perbincangan-perbincangan serius anjuran ALIRAN yang melibatkan pelbagai pertubuhan sivil (NGO) sebelum berlaku Operasi Lalang.
Pandangan Rustam yang seimbang dan bernas amat nyata terselah di dalam perbincangan-perbincangan yang serius. Ia menyampaikan buah fikirannya dengan menggunakan bahasa yang amat indah, bersopan sama ada di dalam Bahasa Malaysia ataupun Bahasa Inggeris.
Tidak hairanlah pada Pilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999 pada era Reformasi – Rustam telah mengetuai satu panel menyediakan Manifesto Pilihanraya Barisan Alternatif. Beliau berjaya menyiapkan Manifesto tersebut yang menjadi testamen awal rangka kerjasama pelbagai parti politik pembangkang yang mempunyai ideologi yang berbeza-beza. Parti Keadilan Nasional, PAS, PRM dan DAP telah bersetuju menerima Manifesto Pilihanraya yang disediakan oleh Rustam dan ahli jawatankuasanya.
Rustam sebagai pejuang reformasi dapat dilihat dari tulisan-tulisannya sendiri sepanjang era Reformasi dari tahun 1998 hinggalah kini. Sesetengan tulisannya itu telah dibukukannya dan telah diterbitkan. Tapi apa yang menarik bagi saya ialah tentang gagasan Rustam yang cuba menghuraikan konsep politik baru ke dalam politik Malaysia. Politik baru baginya bererti politik bukan perkauman, yang tidak berasaskan perjuangan sempit bagi kaum-kaum tertentu, sebaliknya satu perjuangan untuk keadilan yang meluas bagi seluruh rakyat Malaysia yang membentuk Bangsa Malaysia.
Selepas Pilihanraya Umum tahun 1990, Parti Rakyat Malaysia telah mengadakan satu retreat (pemukiman) di satu resort di kawasan bukit di pinggir hutan dalam daerah Bentong, Pahang. Dua hari aktivis-aktivis PRM bermukim di situ, di antaranya ialah Rustam. Kami berbincang tentang hala tuju PRM dan masa depan Malaysia.
Bukan apa yang serius kami bincangkan di situ yang ingin saya kongsi bersama.. tetapi saya ingin menceritakan bahawa di retreat itulah saya yang tidak begitu rapat dengan Rustam mengenal peribadinya dengan lebih dekat. Rupa-rupanya Rustam ini seorang yang pandai berjenaka, bergurau dan melawak dengan kawan-kawan. Dia banyak bercerita dan bercakap, kami yang lain tak kering gusi dibuatnya.
Tetapi yang paling saya terharu ialah tentang rendah hati Rustam yang anat menyentuh perasaan saya. Waktu itu Anwar Ibrahim di dalam tahanan. Dr. Wan Azizah adalah pemimpin utama gerakan reformasi di luar penjara.
Pada satu hari diadakan Majlis Pelancaran buku antologi puisi tulisan saya yang bertajuk “Sajak-Sajak Reformasi” dilancarkan dengan rasmi oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Nasional, ketika itu.
Rustam dengan baik hati telah sanggup menjadi jurugambar pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM. Rustam mengambil gambar untuk untuk kemudian dimuatkan di dalam akhbar Suara PRM yang dipimpinnya. Hal itu berlaku di satu padang awam yang indah di kawasan Gombak. Sdr Azmin Ali dan Syed Shahir Mohamad pun ada sama.
Kemudian Rustam dan saya terpisah jauh. Rustam yang menjadi pelopor utama dalam wawasan percantuman PRM dan Parti Keadilan Nasional akhirnya berhijrah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala saya terus kekal dengan Parti Rakyat. Kami bertemu beberapa kali selepas itu terutamanya di Forum Sosialisme anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) apabila Rustam dan saya dijemput sebagai ahli panel.
Bagaimanapun saya ingin mengakhiri tulisan dengan mencatatkan satu detik yang paling indah dan bermakna kepada Rustam yang dapat saya saksikan sendiri bersama isteri saya.
Hal itu berlaku beberapa tahun lalu di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur dalam satu majlis perkahwinan anak lelaki Rustam. Saya dan isteri dijemput sebagai tetamu. Pada malam yang indah itu sampai sekarang saya masih ingat betapa bangganya Rustam menerima menantu dan menyaksikan puteranya di atas pelamin dan Rustam membuat ucapan ringkas. Yang saya ingat sampai sekarang ialah betapa Rustam mempertahankan satu perkara kecil tetapi sungguh bermakna selaras dengan pendiriannya sebagai seorang budayawan Melayu progresif. Rustam berkata, jika hendak beri hadiah kepada tetamu dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu, berilah hadiah bunga telur. Jangan beri hadiah coklat yang diimport dari Barat.
Damailah Rustam di alam Barzah. Semoga Allah mencucuri rohmu. Takziah kepada isteri dan anak-anak serta keluarga Rustam. Percayalah, saya seperti anda kalian, telah kehilangan seorang sahabat yang baik, seorang intelektual dan pejuang reformasi yang gigih.
Al-Fatihah.

Tiada ulasan: