Sabtu, 10 Mei 2008

KENYATAAN MEDIA PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)JANGAN GUNAKAN AKTA HASUTAN UNTUK TUTUP MULUT KARPAL SINGH



Parti Rakyat Malaysia berpendapat isu kenyataan Karpal Singh, Pengerusi DAP mengenai tindakan Sultan Perak dan teks ucapan Yang Dipertuan Agong perlu ditangani secara bijaksana iaitu kesediaan untuk tampil berhujah dengannya secara rasional berdasarkan undang-undang dan fakta sejarah, bukannya berusaha untuk menekan dan menutup mulut Karpal dengan membuat laporan polis supaya Pengerusi DAP itu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.
Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Cepat atau lambat, Malaysia akan berdepan dengan isu-isu perundangan seperti yang dibangkitkan oleh Karpal Singh.
Apa faedah yang Malaysia dapat sekiranya Karpal Singh didakwa di bawah Akta Hasutan dan kemudiannya jika didapati bersalah dia dicampak ke penjara, sedangkan isu yang beliau bangkitkan tidak dijawab dan diberi penyelesaian?
Parti Rakyat Malaysia berpendapat apa yang dibuat oleh Karpal dan cara ia dilakukan tidak semestinya betul dan apa yang beliau cakap tidak semestinya benar.
Kita jangan jadi seperti orang pengecut takut membicarakan isu-isu yang Karpal luahkan dan kerana itu mahu segera mulut Karpal ditutup dengan ancaman Akta Hasutan.
Parti Rakyat Malaysia percaya sudah sampai masanya kita memikirkan dengan serius tentang keperluan menubuhkan Mahkamah Perlembagaan di Malaysia.
Isu-isu yang Karpal bangkitkan tentang apa yang berlaku antara Istana Perak dengan Menteri Besar Perak berhubung pemecatan dan perlantikan semula Datuk Jamry Sury sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) adalah isu perundangan yang mengaitkan bidang kuasa kerajaan negeri dan Sultan. Perlembagaan negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia perlu dirujuk. Tidak cukup itu, amalan konvesi perundangan yang digunapakai selama ini juga perlu diteliti.
Karpal Singh perlu diperingatkan bahawa negeri ini bukan negara demokrasi ala Amerika Syarikat atau Perancis yang tidak beraja. Di Malaysia masih ada raja. Ada Sembilan Raja-Raja Melayu dalam persekutuan 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Raja-Raja itu juga ada kuasa-kuasanya yang tersurat dan juga tersirat di dalam Perlembagaan negeri masing-masing dan juga Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan adalah atas nama Kerajaan Yang Dipertuan Agong manakala Kerajaan Negeri Perak adalah atas nama Kerajaan Sultan Perak.
Dalam hal ini maka kritikan Karpal Singh terhadap tindakan Sultan Perak tidak semestinya tepat. Karpal mungkin silap dari segi perundangan tetapi adakah dia menghina Sultan?
Parti Rakyat Malaysia percaya pihak-pihak tertentu tidak wajar dengan cepat menuduh seseorang itu menghina Sultan. Jika tanpa niat jahat tetapi demi kepentingan umum seseorang itu perlu mempersoalkan sesuatu tindakan Sultan dari segi perundangan, maka ia tidak patut dianggap menghasut atau menghina.
Kita perlu ingat di dalam semangat demokrasi, kita rakyat Malaysia mahu maju ke depan membebaskan diri kita dari belenggu sistem feudalisme.
Parti Rakyat Malaysia menghormati sistem kenegeraan Malaysia waktu ini yang bersifat dualisme iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Raja Berperlembagaan berbeza dengan sistem raja mutlak (absolute monarchy). Justeru itu, Parti Rakyat Malaysia membantah tindakan UMNO dan pihak-pihak tertentu yang cuba menggunakan Akta Hasutan atau ISA untuk menakut-nakutkan rakyat supaya jangan menyentuh bidang kuasa istana.
Parti Rakyat Malaysia berpendapat bahawa pihak-pihak seperti UMNO yang mahu mempertahankan status quo yang ada sekarang supaya jangan habiskan masa membuat laporan-laporan polis terhadap Karpal Singh.
Mereka boleh menjawab hujah-hujah Karpal Singh dengan mengingatkan Pengerusi DAP itu bahawa Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Malaya dulunya dipanggil Tanah Melayu. Selepas 1957, ia digelar Persekutuan Tanah Melayu. Fakta sejarah menunjukkan 9 negeri di Semenanjung yang masih ada Sultan dan Raja tidak pernah terjajah secara terus di bawah Inggeris atau Jepun atau Belanda ataupun Portugis.
Sebab itulah Sultan dan raja-Raja Melayu masih ada kuasa hingga sekarang dan diiktiraf serta diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Karpal Singh tidak boleh cabut kuasa yang ada pada Sultan dan Raja kalau rakyat Melayu masih mahukan Sultan dan Raja mereka terus berkuasa seperti yang ada sekarang.
Hujah-hujah Karpal Singh sebenarnya boleh dikalahkan di Mahkamah Perlembagaan (jika ada) atau dalam pentas pendebatan perundangan pada bila-bila masa. Tidak perlu Akta Hasutan atau ISA digunakan untuk menutup mulut Pengerusi DAP itu yang kelihatannya agak celupar dan biadap pada sesetengah orang. Hadapi isu yang Karpal Singh timbulkan dengan berani.


Hassan bin Abdul Karim


Presiden PRM 9-Mei-2008
Alamat:Bilik 6, Aras 2,Wisma Qaryah, Jalan Pejabat,82000 Pontian, Johor.


Tel: 07-6881839H/P: 012-7931148


Email: hakarim2001@yahoo.comBlog:


http://hassankarim.blog.com


Tiada ulasan: