Khamis, 2 April 2009

PRM menyeru pengundi sokong Nizar (dan tolak semua calun BN)

Parti Rakyat Malaysia

21B(F) Jalan 6

Taman Selayang Indah

68100 Batu Caves Selangor

012-2766551

1-4-2009


Kepada Pengarang yang dihormati,


Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru pengundi kawasan Parlimen Bukit Gantang memberikan sokongan bulat kepada calon PAS Nizar Jamaluddin serta tolak calon BN.


Pada masa yang sama, PRM juga menyeru pengundi DUN Bukit Selambau Kedah dan Batang Ai Sarawak tolak calon BN dalam pilihanraya kecil.


Pilihanraya kecil yang di sedang berlangsung kini khususnya pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai makna yang penting dalam peringkat perkembangan sejarah negara, keputusannya akan mempengaruhi halatuju politik demokrasi negara akan datang serta dasar-dasar ekonomi dan social.


Seperti yang dikatakan oleh calon Parlimen kawasan Bukit Gantang, Nizar Jamaluddin, pilihanraya kecil harus ditanggap sebagai pungutan suara rakyat terhadap dasar dan politik UMNO yang tidak demokratik dan korup dan terhadap perbuatan UMNO yang merampas kuasa pemerintahan negeri Perak daripada kerajaan Pakatan Rakyat tanpa mengikut peraturan dan proses yang sah.


Inilah peluang dan ketika yang sesuai untuk rakyat sekali lagi mneyusarakan bahawa mereka telah muak dan tolak politik dan dasar UMNO dan BN yang dasarnya hanya menguntungkan segelintir manusia yang berkuasa, dan rakyat Negara ini mahu menyaksikan perubahan yang tulin dan bernas dilakukan. Dua pilihanraya kecil yang telah lepas iaitu pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan kawasan parlimen Kuala Terengganu di Terengganu telah tolak BN.


Rakyat negera ini telah menyaksikan manfaat pertukaran separa parti pemerintahan di lima buah negeri pada PRU ke-12. Perubahan memang baik untuk rakyat khususnya di negeri Perak.


Kerajaan Pakatan Rakyat Perak di bawah pimpinan Nizar Jamaluddin telah melaksanakan beberapa perubahan dasar yang dicita-citakan oleh rakyat negeri Perak dalam masa yang singkat. Perubahan begini tidak mungkin berlaku langsung pada bila-bila masa di bawah kerajaan UMNO dan BN.


Rakyat juga menyaksikan kebajikan rakyat di negeri-negeri di bawah kuasa Pakatan Rakyat dijaga dengan baik, umpamanya dasar air percuma bagi penggunaan air 20 meter padu yang pertama telah dilaksanakan di negeri Selangor , sebuah negeri di bawah pakatan Rakyat.


Akan tetapi, apabila kerajaan negeri Selangor hendak membeli balik syarikat yang mengurus air paip, kerajaan pusat di bawah UMNO campurtangan dan mengambil alih syarikat berkenaan, kini cas air di negeri Selangor akan dinaikkan sebanyak 31% menurut laporan. Ini jelas menunjukkan tujuannya ialah menjaga kepentingan kroni UMNO yang menguasai syarikat tetapi mengalami kerugian teruk itu, pada masa itu mencuba menggagalkan dasar air percuma bagi 20 meter padu kerajaan Pakatan Rakyat, dan seterusnya menghapuskan mana-mana dasar yang menjaga kepentingan rakyat.


Rakyat juga menyaksikan bahawa UMNO dan BN yang terlalu lama memerintah Negara ini iaitu selama 50 tahun , tetapi dinyahkan kuasa pemerintahan di lima buah negeri pada PRU ke-12 telah melalui sedikit perubahan sikap yang angkuh dan bongkak. Pada perhimpunan yang baru lepas, UMNO telah mempunyai barisan kepimpinan baru, dan kepimpinan ini juga beria-ia hendak melakukan perubahan dan menjaga kepentingan rakyat. UMNO telah menerima isyarat bahawa rakyat Negara ini mahu nampak perubahan.


Walaupun kepimpinan UMNO telah bertukar tangan , UMNO tidak akan melakukan apa-apa perubahan yang bernas, perubahan hanya kosmetik untuk mengubukan mata dan meredakan kemarahan rakyat , menutup kekorupan dan ketamakan UMNO.


Pada hal, Abdullah Badawi dilucutkan oleh UMNO lebih awal jelas menunjukkan pemimpin UMNO dari atas ke bawah telah menolak agenda perubahan yang hendak dibawa Abdullah Badawi. Apa yang hendak dikekalkan ialah “order lama UMNO”, meminjam ucapan Abdullah Badawi baru-baru ini dalam perhimpunan UMNO.


Pemimpin-pemimpin besar dan kecil UMNO tidak dapat menerima perubahan Abdullah badawi, tidak hairanlah Abdullah Badawi dinyahkan dari tampuk kuasa UMNO. Najib Tun Razak yang mengambil-alih menjadi Presiden dan Perdana Menteri tidak akan melakukan apa-apa perubahan. Jika beliau tegas hendak melakukannya, semua pemimpin akan membuangnya.


Perubahan yang dicadangkan Najib Tun Razak dan Timbalannya Muhyiddin adalah cakap-cakap kosong, dan untuk mengalihkan kelihatan rakyat daripada perbuatan UMNO untuk terus merampas kakayaan rakyat dan Negara. Boleh dijangkakan, kehidupan rakyat tidak akan maju, bahkan akan merosot dan sengsara jika negara terus dibawa kuasa UMNO .


Apabila Abdullah Badawi memberikan ucapan terakhirnya di perhimpunan UMNO, beliau dengan jelas mengatakan bahawa kepimpinan UMNO yang bergantinya masih mengguna cara lama untuk menyekat dan menindas kritikan rakyat. Jika begitu, UMNO akan ditolak rakyat pada PRU ke-13.


PRM berpendapat jika rakyat hendak UMNO dan BN melaksanakan perubahan yang bernas, pengundi di ketiga-tiga kawasan pilihanraya kecil perlu memberikan undi mereka pada calon Pakatan Rakyat. Penolakan UMNO dan BN dalam pilihanraya kecil adalah isyarat kepada UMNO dan Bn bahawa rakyat Negara ini hendak perubahan yang bernas , khususnya pengundi Kawasan Parlimen Bukit Gantang harus memberikan sokongan bulat kepada Nizar, sebagai suara menolak perbuatan UMNO yang tidak demokratik dan menolak cara yang tidak mengikut peraturan.


Koh Swe Yong

Setiausaha Agung