Rabu, 21 Mei 2008

ISU SCORPENE DAN SUKHOI: PARTI RAKYAT TIDAK PUAS HATI DENGAN PENJELASAN NAJIB DI PARLIMEN


Parti Rakyat Malaysia (PRM) tidak puas hati dengan penjelasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 14-5-2008. Najib berkata bahawa kerajaan tidak pernah membayar komisyen kepada sesiapa berkenaan pembelian dua buah kapal selam Scorpene dan 18 jet pejuang Sukhoi.

Datuk Seri najib adalah pihak yang berkepentingan dalam isu pembelian kapal selam dan jet pejuang tersebut atas sifatnya selaku Menteri Petahanan.

Selain itu, Datuk Seri Najib secara peribadi dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda yang dikatakan sebagai penasihat Najib sebelum ini dan Razak Baginda dikatakan memiliki syarikat Perimekar Sdn Bhd dan kini beliau sedang menghadapi tuduhan di Mahkamah atas kes bunuh Altantuya Shaariibuu.

Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mendakwa bahawa Perimekar menerima komisyen sebanyak RM580.46 juta dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene tersebut.

Justeru itu, PRM berpendapat penjelasan oleh Najib sendiri dalam hal ini sukar diterima rakyat. Sepatutnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih layak memberi penjelasan dalam soal ini kerana selain beliau mengetuai kerajaan, Abdullah juga adalah Menteri Kewangan.

Perkara ini besar. Kerajaan membelanjakan RM4.5 bilion untuk membeli dua kapal selam Scorpene itu. Perbendaharaan dan Menteri Kewangan adalah pihak yang terlibat secara langsung dalam soal pembayaran.

Jadi PRM ingin supaya Perdana Menteri sendiri menjawab di Parlimen tentang soal ini. Najib pihak yang ada kepentingan. Orang yang ada kepentingan tidak patut menjelaskan secara langsung atau tidak bahawa dia terlibat atau tidak terlibat. Penjelasan Najib tidak meyakinkan sesiapa.

Pada akhirnya PRM menyokong cadangan Ketua Pembangkang di Parlimen supaya satu Suruhanjaya Bebas dibentuk untuk menyiasat isu pemberian komisyen dalam urusan pembelian 2 kapal selam Scorpene dan 18 buah jet pejuang Sukhoi.

Hassan bin Abdul Karim
Presiden PRM
15-5-2008

Alamat:
Bilik 6, Aras 2,
Wisma Qaryah, Jalan Pejabat,
82000 Pontian, Johor.
Tel: 07-6881839
H/P: 012-7931148
Email: hakarim2001@yahoo.com
Blog: http://hassankarim.blog.com

Tiada ulasan: