Sabtu, 10 Mei 2008

Kenyataan PRM: Cadangan Atasi Kenaikan Harga dan Bekalan Beras di Malaysia

Parti Rakyat Malaysia ingin mencadangkan beberapa langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah kenaikan harga beras dan juga kekurangan bekalannya di Malaysia. Cadangan-cadangan ini boleh dianggap sebagai tambahan atau pelengkap kepada beberapa langkah penting yang telah diambil oleh kerajaan baru-baru ini.
Parti Rakyat Malaysia percaya usaha untuk memperluaskan kawasan tanaman padi bagi menambah bekalan beras di Malaysia adalah satu penyelesaian jangka panjang. Dalam hal ini, Parti Rakyat Malaysia mencadangkan supaya kerajaan membentuk Bank Tanah untuk menjadi pembeli atau pemegang amanah bagi tanah-tanah terbiar. Langkah ini dapat menyelamakan petani-petani miskin dari menjual atau menggadai tanah mereka kerana terdesak. Tanah-tanah yang terbiar itu, mana yang sesuai bolehlah ditanam padi.
Selanjutnya, bagi mempastikan jaminan bekalan beras dan harganya yang terkawal maka Parti Rakyat Malaysia mencadangkan supaya sistem pasaran padi dan beras yang kini dimonopoli oleh kapitalis besar supaya dirombak dan diganti dengan sistem koperasi.
Parti Rakyat Malaysia percaya adalah wajar untuk kita sekarang memperluas dan memperkukuhkan sistem pasaran koperasi dalam sektor pertanian padi. Krisis harga bahan makanan di dunia termasuk beras yang meningkat kebelakangan ini disebabkan oleh banyak faktor. Tetapi tidak dinafikan kegagalan sistem pemasaran kapitalisme yang didorong oleh sifat rakus dan tamak pedagang-pedagang di peringkat global dan di dalam negara adalah satu punca utamanya.
Kerana itu perubahan ke arah pasaran koperasi patutlah bermula dalam sektor bekalan makanan di Malaysia. Ini adalah satu jalan penyelesaian jangka panjang.

Hassan bin Abdul Karim
Presiden PRM
08-5-2008
Alamat:Bilik 6, Aras 2,Wisma Qaryah, Jalan Pejabat,82000 Pontian, Johor.
Tel: 07-6881839
H/P: 012-7931148
Blog: http://hassankarim.blog.com

Tiada ulasan: