Selasa, 3 Jun 2008

KEPUTUSAN ICJ KE ATAS PULAU BATU PUTIH DAN KAITAN DENGAN ISKANDAR MALAYSIA SERTA PULAU PISANG DI PONTIAN, JOHOR

KENYATAAN MEDIA PARTI RAKYAT MALAYSIA

KEPUTUSAN ICJ KE ATAS PULAU BATU PUTIH DAN KAITAN DENGAN ISKANDAR MALAYSIA SERTA PULAU PISANG DI PONTIAN, JOHOR

Parti Rakyat Malaysia (PRM) sedih dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan bahawa Pulau Batu Putih diserahkan kepada Singapura. Namun begitu PRM berasa syukur kerana kedaulatan Middle Rocks diserahkan kepada Malaysia.

Bagaimanapun keputusan ICJ itu patut dijadikan teladan dan pengajaran kepada kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang. Surat Pemangku Setiausaha Negeri Johor pada tahun 1853 telah digunakan oleh Singapura sebagai salah satu hujahannya bahawa kerajaan Johor telah melepaskan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Putih kepada Syarikat India Timur dan kemudian Inggeris dan akhirnya Singapura.

Pengajaran yang perlu diambil sekarang ialah kerajaan Malaysia perlu membatalkan niatnya untuk membentuk Jawatankuasa Bersama peringkat menteri-menteri antara Malaysia dengan Singapura dalam projek Iskandar Malaysia (dulu disebut Wilayah Pembangunan Iskandar).

Apa rasionalnya Menteri Singapura terlibat dalam pembangunan Wilayah Malaysia sendiri? Jangan kesilapan Pemangku Setiausaha Johor pada tahun 1853 diulang oleh Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Besar Johor sekarang yang bertindak seakan-akan menyerah kedaulatan Malaysia kepada Singapura dalam pembangunan Iskandar Malaysia.

Selanjutnya PRM mendesak kerajaan mengambil alih kuasa mentadbir rumah api di Pulau Pisang, di perairan Selat Melaka dalam daerah Pontian, Johor dari pihak Singapura.

Tindakan Johor membenarkan Inggeris membina rumah api Horsburgh di Pulau Batu Putih berakhir dengan kedaulatan Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura.

PRM dalam alasan yang sama tidak mahu pada tahun-tahun kemudiannya Pulau Pisang jatuh ke tangan Singapura kerana kerajaan Johor dan Malaysia tidak buat apa-apa menuntut haknya sebaliknya berdiam diri, pasif dan lebih malangnya tidak bertanggungjawab ke atas kedaulatan wilayah sendiri.

PRM berpendapat sudah cukuplah kerajaan lama feudal Johor menyerahkan Pulau Singapura kepada Inggeris dan kemudian kerajaan Perikatan (kini BN) di bwah Tunku Abdul Rahman menyerah Singapura kepada Lee Kuan Yew dan PAP pada tahun 1965.

PRM desak sebelum terlanjur dan tidak boleh ditarik balik supaya semua aspek pembangunan Iskandar Malaysia di selatan Johor dikaji semula dari segi kedaulatan Malaysia dalam jangka panjang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mencadangkan ditubuhkan Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura di peringkat menteri dalam soal pembangunan Iskandar Malaysia dan lain-lain kemudahan Kastam dan Imigresen ke atas pelabur Singapura dan asing di Iskandar Malaysia hasil dari satu pertemuan informal (retreat) antara Abdullah Badawi dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Long di Pulau Langkawi lebih setahun lalu.

PRM mendesak semua aspek yang berhubung dengan kedaulatan negara tidak boleh diputuskan oleh Perdana Menteri seorang diri atau Kabinet secara kolektif tanpa terlebih dahulu dibahas di Parlimen Malaysia. Cukuplah Raja Johor (kerajaan feudal lama) menyerah Singapura (Temasik) kepada Inggeris dan kemudian keputusan seorang diri Tunku Abdul Rahman melepaskan Singapura kepada Lee Kuan Yew juga atas keputusan Tunku seorang diri.

PRM menuntut supaya institusi Parlimen diberi peranan yang lebih luas dan aktif untuk mempastikan keutuhan kedaulatan Wilayah Malaysia dijaga rapi.

Akhirnya PRM ingin penjelasan dari kerajaan iaitu sebelum kes kedaulatan Pulau Batu Putih dirujuk ke ICJ adakah kerajaan telah mendapat perkenan terlebih dahulu dari Sultan Johor, Dewan Undangan Negeri Johor dan Parlimen Malaysia?


Hassan bin Abdul Karim

Presiden PRM

26-5-2008

Alamat:

Bilik 6, Aras 2,

Wisma Qaryah, Jalan Pejabat,

82000 Pontian, Johor.

Tel: 07-6881839

H/P: 012-7931148

Email: hakarim2001@yahoo.com

Blog: http://hassankarim.blog.com