Khamis, 17 April 2008

Ringkasan Sejarah Parti Rakyat Malaysia

Awal Penubuhan

Parti Rakyat Malaysia adalah merupakan salah satu parti politik terawal di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr. Burhanuddin Al Helmy dan sebilangan pejuang kemerdekaan pada 11 November 1955. Tidak seperti semangat yang diperjuangkan oleh UMNO (seterusnya menjadi Parti Pemerintah sehingga ke hari ini), Parti Rakyat mahukan kemerdekaan secara total dari penjajahan kolonial British.
Pada tahun 50-an dan 60-an, Parti Rakyat telah bergabung bersama dengan Parti Buruh dan dikenali sebagai Barisan Sosialis (Socialis Front) yang mana menguasai kebanyakan Majlis Tempatan di Semenanjung Malaysia. Kekuatan dan perkembangan gerakan haluan kiri ini telah mendapat tentangan hebat dari pihak pemerintah khasnya UMNO yang masih dibayang oleh penjajah British. Pada tahun 1963, semasa peristiwa konfrontasi diantara Malaysia dan Indonesia, pihak pemerintah Malaysia telah memulakan penangkapan dan penahanan ahli dan aktivis politik dikalangan pembangkang. Diantara yang ditahan adalah Ahmad Boestaman (Presiden Parti Rakyat), Ishak Hj Muhammad (Presiden Parti Buruh), Abdul Aziz Ishak, Datuk Kampo Radjo (kemudiannya Presiden Parti Rakyat), Tan Kai Hee, Tan Hock Hin, Dr Rajakumar, Hasnul Hadi, Tajuddin Kahar dan beratus-ratus yang lainnya.

Tekanan

Barisan Sosialis kemudiannya dibubarkan kerana mendapat tekanan kuat dari pihak pemerintah. Semasa berlakunya tragedi rusuhan kaum pada 1969, pihak pemerintah semakin menguatkan pengaruhnya dengan memansuhkan sistem pilihanraya di Majlis Tempatan dan menggantikannya dengan secara lantikan. Oleh yang demikian, Parti Rakyat telah kehilangan sokongan dan suara didalam Parlimen dan juga Majlis Tempatan. Pada tahun 1970, kepimpinan Parti Rakyat telah diambil alih oleh Kassim Ahmad, seorang lepasan professional Universiti, Parti Rakyat telah diterapkan lagi dengan ideologi sosialis lebih radikal. Pindaan Perlembagaan telah dibuat dan Parti Rakyat dipinda kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Disebabkan perkembangan ini, pihak pemerintah mengambil kesempatan dan membuat momokan bahawa ianya mirip kepada komunis. Diatas tuduhan-tuduhan yang palsu, ramai pemimpin dan penyokong parti terus ditahan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah Presiden Parti Rakyat ketika itu, Kassim Ahmad juga telah ditahan. Sebahagian rakyat bertambah memandang serong dan takut akan PSRM yang begitu banyak dimomokan. Pada awal tahun 1980-an, Datuk Kampo Radjo, bekas Exco Selangor telah dipilih menjadi Presiden menggantikan Kassim Ahmad.

Kepimpinan Baru

Pada akhir tahun 1980-an, Parti Rakyat telah dipimpin kepimpinan baru di ketuai oleh Dr. Syed Husin Ali dan Dr. Sanusi Osman sebagai Setiausaha Agung. Pada sidang Kongres PSRM dalam tahun 1989 telah kembali kepada nama asal iaitu Parti Rakyat Malaysia (PRM). Semasa Pilihanraya Umum 1990, Parti Rakyat menjalinkan kerjasama dikalangan parti pembangkang Malaysia yang dinamakan Gagasan Rakyat. Gagasan ini telah berjaya mengurangkan dominan parti pemerintah dan bagi mendapatkan pertandingan satu lawan satu disetiap kawasan.
Semasa era reformasi berikutan penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat saranan yang berpendapat supaya Parti Rakyat bergabung bersama Parti Keadilan Nasional. Dalam siri perbincangan, beberapa keputusan telah dicapai bagi menjayakan penggabungan ini. Parti Keadilan Nasional akan dipinda kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), digubal teras pelembagaannya dan logo parti juga diubah. Manakala Parti Rakyat, seluruh ahlinya akan dipindahkan secara "en-bloc" kepada Parti Keadilan Rakyat dan Parti Rakyat akan dibubarkan apabila Parti Keadilan Rakyat telah berada dalam keadaan mantap. Kedua-dua Parti telah digabungkan secara rasmi pada 3 Ogos 2003.

Bagaimanapun, sebilangan pemimpin Parti Rakyat berpendapat beberapa keputusan tidak memenuhi syarat khususnya mengenai pembubaran Parti Rakyat. Lanjutan dari itu, satu Kongres Khas telah diadakan di Johor Bahru pada 17 April, 2005 dan kepimpinan baru telah dipilih bagi meneruskan perjuangan Parti Rakyat dan menegaskan bahawa perlunya Parti Rakyat terus wujud dan komited untuk bersaing di arena politik Malaysia.

Tiada ulasan: